Terminologi Usia (geologi)

SMG dibahagikan kepada unit kronostratigrafi dan padanan unit geokronologi. Unit-unit tersebut diwakili pada ICC yang diterbitkan oleh ICS; namun, istilah serantau masih digunakan di sesetengah kawasan.

Kronostratigrafi merupakan unsur stratigrafi yang mengurus hubungan antara jasad-jasad batuan dan pengukuran relatif masa geologi.[6] Ia merupakan satu proses yang melibatkan penetapan stratum-stratum tersendiri yang terletak antara ufuk-ufuk stratigrafi tertakrif pada selangan relatif bagi tempoh masa geologi.

Satu unit kronostratigrafi ialah sebuah jasad batuan, sama ada berlapis mahupun tidak berlapis, yang ditakrifkan kedudukannya antara ufuk-ufuk stratigrafi tertentu yang mewakili selang masa geologi yang spesifik. Satu unit ini termasuk semua batuan yang mewakili selang masa geologi tertentu, dan hanya pada rentangan masa ini.[7] Eonotem, eratem, sistem, siri, subsiri, peringkat, dan subperingkat merupakan unit kronostratigrafi berhierarki.[7]

Geokronologi merupakan cabang saintifik geologi yang bertujuan untuk menentukan umur batu-batuan, fosil-fosil, dan mendapan-mendapan sama ada melalui kaedah mutlak (contohnya, pentarikhan radiometri) atau kaedah relatif (contohnya: kedudukan stratigrafi, kepaleomagnetan, nisbah isotop stabil).[8]

Satu unit geokronologi merupakan satu subbahagian masa geologi. Ia merupakan perwakilan berangka bagi sifat tak ketara (masa).[9] Eon, era, tempoh/zaman, epok, subepok, usia dan subusia merupakan unit-unit geokronologi berhierarki.[10] Geokronometri ialah bidang geokronologi yang mengukur masa geologi secara angkaan.[9]

Bahagian dan Titik Stratotip Sempadan Global (GSSP) ialah titik rujukan yang dipersetujui di peringkat antarabangsa pada bahagian stratigrafi yang mentakrifkan sempadan-sempadan bawah untuk peringkat-peringkat pada skala masa geologi.[11] (Baru-baru ini istilah ini telah digunakan untuk menentukan asas bagi satu unit sistem)[12]

Umur Stratigrafi Piawai Global (GSSA)[13] ialah titik rujukan kronologi dan berbentuk hanya angka yang digunakan untuk mentakrifkan asas unit geokronologi sebelum zaman Kriogen. Titik-titik rujukan ini masaih ditakrifkan secara sebarangan.[14] Ia digunakan apabila GSSP masih belum ditubuhkan. Penyelidikan sedang dijalankan untuk mentakrifkan GSSP untuk asas semua unit yang pada masa ini ditakrifkan oleh GSSA.

Perwakilan berangka (geokronometri) bagi unit geokronologi boleh, dan lebih kerap tertakluk pada perubahan apabila geokronologi memperhalusi geokronometri tersebut, manakala padanan unit kronostratigrafi kekal sama, dan semakannya kurang berlaku. Contohnya, pada awal 2022 sempadan antara tempoh Ediakara dan tempoh Kambria (unit geokronologi) telah disemak daripada 541 Ma kepada 538.8 Ma tetapi takrifan batu untuk sempadannya (GSSP) masih di pangkal Kambrium, dan dengan itu sempadan antara sistem Edikara dan sistem Kambria (unit kronostratigrafi) tidak berubah, hanya geokronometri telah diperhalusi.

Nilai berangka pada ICC diwakili oleh unit Ma (megaanum) yang bermaksud "juta tahun lalu", iaitu, 201.4 ± 0.2 Ma, sempadan bawah Tempoh Jura, ditakrifkan sebagai 201,400,000 tahun dengan ketidakpastian 200,000 tahun. Unit awalan metrik lain yang biasa digunakan oleh ahli geologi ialah Ga (gigaanum, bilion tahun lalu), dan ka (kiloanum, ribuan tahun lalu), dengan yang terakhir sering diwakili dalam unit yang dikalibrasi (sebelum kini).

Pembahagian masa geologi

  • Satu eon merupakan satu unit masa geokronologi yang terbesar dan bersamaan dengan satu eonotem kronostratigrafi.[15] Terdapat empat eon yang ditakrifkan secara rasmi: Hadean, Arkean, Proterozoik dan Fanerozoik.[16]
  • Satu era merupakan satu unit masa geokronologi kedua terbesar (selepas eon) dan bersamaan dengan satu eratem kronostratigrafi.[17][18] Terdapat sepuluh era yang ditakrifkan: Eoarkean, Paleoarkean, Mesoarkean, Neoarkean, Paleoproterozoik, Mesoproterozoik, Neoproterozoik, Paleozoik, Mesozoik dan Senozoik, tanpa satu pun era tersebut dari eon Hadean.[19]
  • Satu tempoh (atau zaman) bersamaan dengan satu sistem kronostratigrafi.[20][21] Terdapat 22 tempoh yang ditetapkan, dengan tempoh kini ialah tempoh Kuarterner.[22] Terdapat pengecualian kerana terdapat dua subtempoh digunakan untuk Tempoh Karbon.[20]
  • Satu epok ialah unit geokronologi yang kedua terkecil. Ia bersamaan dengan satu siri kronostratigrafi.[23][24] Terdapat 37 epok yang ditentukan dan satu epok yang tidak formal. Terdapat juga 11 subepok yang semuanya berada dalam tempoh Neogen dan tempoh Kuarter.[25] Penggunaan subepok sebagai unit formal dalam kronostratigrafi antarabangsa telah disahkan pada tahun 2022.[26]
  • Satu usia ialah satu unit geokronologi hierarki terkecil dan bersamaan dengan satu peringkat kronostratigrafi.[27][28] Terdapat 96 usia formal dan lima usia tidak formal.[29]
  • Satu kron ialah satu unit geokronologi formal tidak berhierarki untuk kedudukan yang tidak ditentukan dan bersamaan dengan satu kronozon kronostratigrafi.[30] Unit tersebut berkaitan dengan unit magnetostratigrafi, litostratigrafi atau biostratigrafi kerana ia berdasarkan unit stratigrafi atau ciri geologi yang ditakrifkan sebelum ini.

Pecahan-pecahan geokronologi Awal dan Akhir digunakan sebagai padanan untuk pecahan-pecahan kronostratigrafi Bawah dan Atas, contohnya, Tempoh Trias Awal (unit geokronologi) digunakan sebagai gantian kepada Siri Trias Bawah (unit kronostratigrafi).

Batuan yang mewakili sesuatu unit kronostratigrafi diberi merupakan unit kronostratigrafi tersebut, dan masa apabila ia dibaringkan ialah unit geokronologi, iaitu, batuan yang mewakili Siri Silur merupakan Siri Silur itu sendiri dan ia dimendapkan sewaktu Tempoh Silur.

Unit formal dan berhierarki untuk skala masa geologi (dari yang terbesar hingga terkecil)
Unit kronostratigrafi (stratum)Unit geokronologi (masa)Jangka masa [note 1]
EonotemEonBeberapa ratus juta tahun hingga dua bilion tahun
EratemEraBerpuluh hingga ratusan juta tahun
SistemTempoh/ZamanBerjuta tahun hingga berpuluh juta tahun
SiriEpokBeratus ribu tahun hingga berpuluh juta tahun
SubsiriSubepokBeribu tahun hingga berjuta tahun
PeringkatUsiaBeribu tahun hingga berjuta tahun